top of page
Search
  • Writer's pictureWAQAF 365

SIARAN MEDIA MAJLIS PELANCARAN WAQAF 365

PKEINPK Sdn Bhd (PSB) merupakan syarikat milik penuh Majlis Agama Islam Dan ‘Adat Melayu Perak (MAIPk) telah berjaya melancarkan program wakaf yang dikenali sebagai WaQaf 365 pada 12 Syawal 1443H bersamaan dengan 13 Mei 2022 pada jam 9.30 pagi di Impiana Hotel, Ipoh. DYMM Paduka Seri Sultan Perak telah berkenan melancarkan program WaQaf 365 tersebut dengan dihadiri antara lain oleh YAB Menteri Besar Perak Darul Ridzuan.



Program WaQaf 365 mengajak umat Islam untuk berwakaf secara tunai sepanjang tahun dengan teknologi atas talian melalui sistem Infaq-Pay yang mudah, berterusan dan sistematik selain daripada potongan gaji bulanan. Ini akan memberi peluang kepada semua lapisan masyarakat untuk berwakaf berdasarkan kemampuan kewangan masing-masing. PSB mensasarkan 10,000 pewakaf dalam masa setahun dengan nilai kutipan sebanyak RM 3.6 juta. Selain itu, PSB juga akan melancarkan program Amanah Lil Wakaf bersama rakanrakan strategik iaitu syarikat-syarikat takaful, amanah dan pengurusan pusaka untuk mempelbagaikan saluran untuk berwakaf. Program Amanah Lil Wakaf telah diperakui mematuhi hukum syarak dan boleh dilaksanakan menerusi Mesyuarat Khas Jawatankuasa Fatwa Negeri Perak yang bersidang pada 13 dan 14 Februari 2022 yang lalu.



PSB juga berperanan membantu MAIPk untuk meningkatkan pengetahuan masyarakat berkaitan wakaf. Pelbagai aktiviti akan dilaksanakan bermula dengan satu Seminar Pemerkasaan Wakaf di sebelah petang pada hari Pelancaran WaQaf 365 di hotel yang sama. Pengerusi PSB iaitu YBhg. Dato’ Dr Mohamad Hashim Bin Ahmad Tajudin dalam ucapan aluan menggariskan kejayaan-kejayaan dari permulaan penubuhan PSB dan badan sebelumnya iaitu Perbadanan Kemajuan Ekonomi Islam Negeri Perak (Perbadanan) dalam Mencetus Ekonomi Ummah.




Antara kejayaan-kejayaan tersebut adalah: - 1. Membayar dividen sebanyak RM 31.7 juta kepada MAIPk dalam masa sembilan tahun. 2. Membayar keuntungan dan pajakan ladang wakaf kepada MAIPk dari mula pembangunan sebanyak RM 2.46 juta dan RM 4.8 juta masing-masing. 3. Membantu kerajaan negeri memajukan skim ladang Rancangan Tanaman Berkelompok (RTB) yang dapat memberi manfaat kepada lebih 900 orang peserta dengan kumulatif agihan keuntungan dari mula skim sebanyak RM58 juta. 4. Menyumbang kepada 200 Ketua Isi Rumah (KIR) miskin tegar dari mula sehingga kini sebanyak RM 5.6 juta. 5. Menerima anugerah hasil tertinggi dari “Malaysia Palm Oil Board (MPOB)” di bawah kategori Ladang Semenanjung Berkeluasan 500-1,999 hektar pada tahun 2014 dan 2018. Satu penyerahan “mock cheque” telah dilaksanakan oleh Ketua Pegawai Eksekutif PSB, Tuan Abd Rahman Bin Abdullah Thani kepada Ketua Pegawai Eksekutif MAIPk, Tuan Shahrul Azam Bin Shaari serta empat (4) wakil peserta skim RTB. PSB mempunyai tiga (3) teras perniagaan iaitu dalam bidang Perladangan, Pengurusan Kesihatan dan Pembangunan Hartanah, selain tugas baru membantu MAIPk untuk meningkat kutipan Wakaf Tunai Am dan melabur dana wakaf tersebut.


ABD RAHMAN BIN ABDULLAH THANI CA(M), FCPA(AUST) KETUA PEGAWAI EKSEKUTIF PKEINPK SDN BHD (PSB) 13 MEI 2022M/12 SYAWAL 1443H

41 views0 comments
bottom of page